- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
oleh
Secara konseptualnya, persaudaraan
(ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat manusia dalam sesebuah entiti
masyarakat. Citra dan hati budi seseorang itu bukan bergantung kepada bangsa,
warna kulit, keturunan, pangkat atau hartanya, tetapi diukur berasaskan
ketinggian budi pekerti yang terpuji. Dalam kerangka persaudaraan ini, interaksi
sosial sesama manusia perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh
Islam. Bagi mencerminkan persaudaraan menurut lunas-lunas syara’ maka konsep
persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah yang luhur dan mantap.
Oleh yang demikian, konsep
persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang
efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani
bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan
zaman. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah berjaya
membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam
dan bukan Islam. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi
hubungan intergrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi
dan Nasrani.
Antara objektif konsep persaudaraan
ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi (simbiosis) sesama
insan dalam suasana yang harmoni. Sekiranya dibuka lipatan sejarah permulaan
Islam, dinukilkan konsep persaudaraan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan
golongan Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah Kubra. Peristiwa ini perlu dihayati
dan diperhalusi dalam membentuk kerangka prinsip persaudaraan oleh masyarakat
Islam kini. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat
manusia dalam mengimbangi tuntutan hablu min al-Allah (hubungan dengan Allah)
dan hablu minannas (hubungan sesama manusia).
Justeru itu, sekiranya manusia
menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka
ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul. Sebagai natijahnya, ia
akan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan akhirnya akan membentuk bangsa
yang kuat. Antara sebab kejatuhan kegemilangan tamadun silam adalah disebabkan
tidak ada kesatuan sesama Islam. Umat Islam pada ketika itu, dibelenggu dengan
krisis sentimen aliran mazhab. Masing-masing cuba menonjolkan kewibawaan
pendapat pelopor mazhab yang didokong, dan akhirnya wujud bibit-bibit
perpecahan sehingga mengeruhkan perpaduan di kalangan umat Islam. Sebaliknya,
perselisihan pendapat di kalangan para ulama’ satu rahmat, bagi umat Islam
namun disalah tafsirkan sehingga meniupkan api ekstrimis sehingga boleh
mencetuskan perpecahan.
Umumnya, di Malaysia masyarakat
terdiri daripada pelbagai kaum, peringkat usia, taraf kedudukan, pangkat dan
kebolehan ilmu pengetahuan serta pelbagai sistem agama dan kepercayaan. Bagi
menjamin dan menjaga keharmonian institusi masyarakat, setiap anggota dalam
masyarakat perlu memahami konsep dan peraturan hidup masyarakat. Islam
mempunyai prinsip dan acuan tersendiri dalam konteks kemasyarakatan khususnya
dalam nilai persaudaraan seperti berikut:
1. Persaudaraan (ukhuwwah) menjadi
wasilah atau mekanisme untuk mendekatkan diri pada Allah dan RasulNya.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:“Dan hendaklah kamu
beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan
anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran
yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba
yang kamu miliki.”
Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w
menyebutkan cara yang sepatutnya kita membantu orang yang kurang berada dan
berkongsi menggunakan sesuatu kemudahan. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah setiap orang Islam itu
bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang
dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat
bersedekah. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang
memerlukan bantuan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain
melakukan kebaikan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya
daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu
sedekah”. (riwayat Ahmad)
Justeru itu, berpegang kepada
kehendak ayat al-Quran dan hadis, Nabi menyeru kepada umat manusia mengamalkan
nilai-nilai murni demi mengukuhkan semangat perpaduan. Sesungguhnya, pengajaran
yang terdapat sumber Ilahi mempunyai rahsia-rahsia yang tersembunyi dan manfaat
yang sangat berguna kepada manusia. Semua amalan murni yang ditekankan dalam
teks al-Quran di atas bertujuan untuk mencapai objektif keredhaan Allah dan
dalam masa yang sama menjaga hubungan manusia sesama manusia.
2. Persaudaraan merupakan keperluan
bersama iaitu saling lengkap-melengkapi dan bantu membantu antara muslim dengan
muslim yang lain.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Jika sekiranya seorang
daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya
(dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih
utama dari ia beriktikaf selama 2 bulan di dalam masjidku"
Hadith riwayat al-Hakim dan ia
mengatakan sanadnya sahih. Rasulullah cuba menyeru seluruh umatnya untuk
mengimplimentasikan ruh persaudaraan ini dalam kehidupan semasa. Baginda
sendiri telah mengiktiraf ganjaran berlaku ihsan sesama muslim bagi mengisi
maksud ukhuwwah ini berbanding ibadah di dalam masjidnya. Hal ini jelas memberi
isyarat kepada kita, bukanlah ibadah di tempat sujud saja yang dipentingkan
oleh Islam, bahkan hubungan sesama manusia itu juga dipentingkan sehingga ianya
setara dengan perkara-perkara ibadah asas bagi setiap muslim.
Imam al-Ghazali memberi pandangan
bahawa hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah memberi pertolongan
kepada saudaranya yang mempunyai hajat dan keperluan mengikut kemampuan mereka.
Pandangan ini menjelaskan bahawa wajib memberi pertolongan kepada
saudara-saudara yang dalam kesulitan tanpa menunggu permintaan dari mereka.
Bantuan yang diberikan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Setiap individu
wajib menghormati dan mengasihi saudaranya. Dalam satu riwayat Nabi yang
bermaksud:
“Bukanlah dari umatku sesiapa yang
tidak menghormati saudaranya yang lebih tua, dan yang tua tidak mengasihi
saudaranya yang lebih muda”(riwayat al-Tarmizi)
3. Persaudaraan dapat memupuk nilai
dan etika pergaulan sesama manusia.
Nabi merupakan contoh tauladan yang
unggul untuk diikuti oleh manusia sama ada yang melibatkan hubungan dengan
Allah, sesama manusia dan hubungan dengan alam sekeliling. Menyentuh tentang
adab dan etika pergaulan sesama manusia, setiap individu dalam masyarakat
mempunyai obligasi yang tertentu untuk dilaksanakan. Ruang lingkup dan batas
pergaulan sesama manusia perlu mengikuti tatasusila dan kodifikasi yang
ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w. Nilai-nilai murni yang yang ditunjukkan oleh
bagianda perlu dihayati dengan terperinci dan dipraktiskan bertujuan untuk memelihara
keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat. Kelembutan dan kesantunan budi
pekerti yang ada Baginda bukan sahaja dikagumi oleh masyarakat Islam bahkan
disegani di kalangan musuh Rasulullah.
Bagi menjamin perpaduan dan
keharmonian dalam sesebuah komuniti, Nabi menegaskan hubungan yang baik dan
mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia. Sikap melukakan
atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan berkomunikasi.
Laras bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai
positif dan memberi manfaat kepada pihak pendengar. Justeru itu, perkataan dan
peri laku yang memberi konotasi negatif di tegah dalam ajaran Islam. Adalah
menjadi kewajipan kepada setiap muslim menjauhkan dari sesuatu yang boleh menyumbangkan
impak negatif kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan
persaudaraan.
4. Persaudaraan merupakan obligasi
sosial yang merangkumi kewajipan-kewajipan ringkas yang perlu dilaksanakan.
Perkara ini ditegaskan sebagaimana
hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,"Tanggungjawab seorang muslim kepada
muslim yang lain ada 6 perkara”,i. Apabila bertemu dengannya hendaklah engkau
memberi salam.ii. Apabila ia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya.iii.
Apabila ia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya.iv.
Apabila ia bersin dan bertahmid, maka hendaklah engkau lengkapkan dengan
bertashmit (berdoa).v. Apabila ia sakit hendaklah engkau menziarahinya. vi.
Apabila ia meninggal dunia, hendaklah engkau mengiringi jenazahnya".(hadith
riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis ada menyebut
tentang kerjasama dan bertimbang rasa dengan jiran dan sahabat-handai. Sabda
Nabi s.a.w. yang maksudnya:“Hak jiran jika ia sakit hendaklah diziarahi, jika
ia meninggal dunia, hendaklah dihebahkan kematiannya, jika ia minta pinjam
hendaklah diberi pinjam, jika ia berada dalam kesusahan hendaklah menolongnya.
Jika ia mendapat kebaikan hendaklah mengucapkan tahniah, jika ia ditimpa
kesedihan hendaklah mengucapkan takziah, janganlah engkau meninggikan binaan
rumah engkau melebihi binaan rumahnya kerana itu akan menghalang angin ke
rumahnya. Janganlah engkau mengganggu dengan bau masakanmu kecuali engkau
berikan sedikit kepadanya.” (riwayat al-Munziri)
Begitu juga dalam hadis yang lain,
diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah mengharamkan atas
orang Mukmin darah, harta dan harga diri sesama Mukmin, dan (mengharamkan)
berprasangka buruk kepadanya”
Sekiranya dikaji dan dianalisis
tuntutan yang terdapat dalam hadis di atas jelaslah beberapa garis panduan dan
etika pergaulan secara umum yang ditekankan oleh Rasulullah. Oleh yang
demikian, jika manusia melakukan pelanggaran kewajipan tersebut menyebabkan
berlakunya kecacatan dalam hubungan persaudaraan. Bentuk perhubungan yang
disarankan oleh Baginda perlu dijadikan sebagai batu asas dalam usaha
pengukuhan pembentukan ummah.
5. Persaudaraan juga merupakan
jalinan kemesraan dan kasih sayang.
Hal ini ditekankan oleh Rasulullah,
seperti yang dipetik dari hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmidhi
dan Nasa’i,
"Janganlah kamu saling
memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah
kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad.
Sebaliknya jadilah kamu hamba hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi
seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari".
Dalam hadis lain Nabi s.a.w menyebut
:
“Orang Islam itu bersaudara, tidak
boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya
Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam
nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat.
Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya
pada hari kiamat.”(riwayat Ahmad)
Dalam kita mengejar urusan dunia,
kita sering lalai dan melanggari batas-batas hubungan sesama manusia. Perkara
umpat mengumpat, kata-mengata, fitnah memfitnah amat jelas terjadi dalam
kehidupan harian. Maka hendaklah kita ambil iktibar dari hadith ini untuk
menjaga kemaslahatan ukhuwwah umat Islam itu, kelak hal ini jika tidak dijaga,
maka ia akan menimbulkan pertelingkahan sesama muslim pula. Juga disebut dalam
hadis Rasulullah akan tuntutan menunjukkan kemesraan dalam komunikasi harian
sesama manusia,
"(Janganlah kamu memandang
rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika
bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)."(Hadis riwayat Muslim)
Malah Yusuf al-Qaradhawi dalam
karyanya “Wabak Kemiskinan Dan Cara-cara Islam Merawatinya, 1988” menjelaskan,
Islam menjadikan orang yang ada hubungan persaudaraan dan pertalian kaum
kerabat sebagai golongan yang bersatu padu dan saling memikul tanggungjawab
bersama. Individu yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya pula membantu
yang miskin. Itulah yang mendorong mereka kepada saling bersimpati dan
tolong–menolong serta mengukuhkan ikatan antara mereka. Jelaslah di sini
menunjukkan betapa Islam itu menekankan peri pentingnya komponen-komponen asas
bagi menerapkan roh persaudaraan di kalangan umatnya. Oleh yang demikian
sekiranya asas-asas ini dicemari dengan elemen yang boleh menjejaskan
keharmonian dalam persaudaraan maka ia akan melahirkan satu entiti masyarakat
yang bersifat individualistik. Ini disebabkan pembangunan manusia didorong
kepentingan material dan tidak diseimbangkan dengan pembangunan insan yang
ideal.
6. Persaudaraan dapat memupuk ke
arah pengukuhan perpaduan dan keamanan.
Perpaduan dan keamanan yang
dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini menerusi persaudaraan,
perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa
dan kebudayaan. Nikmat-nikmat mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus
kekal dan diwarisi oleh generasi semasa dan akan datang. Perkara-perkara yang
boleh memecahbelahkan masyarakat perlu dijauhi.
Untuk mengekalkan keharmonian ini,
masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni yang berupa
kasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada
nilai ini perlu dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan
masyarakat yang bersatu padu dalam semua perkara. Tanpa perpaduan yang erat
akan mewujudkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan mengundang kepada
perpecahan. Masyarakat yang lemah bermula dengan konflik persaudaraan yang
wujud dalam sesebuah negara dan akhirnya ia akan melahirkan bibit perpecahan
dalam interaksi perhubungan komuniti. Oleh yang demikian, unsur-unsur negatif
yang boleh mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat merupakan virus yang
sangat berbahaya kepada manusia. Sindrom sedikian perlu dibasmi dan dicegah
sebelum merebak secara berleluasa dalam sesebuah masyarakat.
Comments
Post a Comment